BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 14 November 2010

Melayu Pulau Pinang semakin dipinggir

Nasib yang menimpa orang Melayu di Pulau Pinang perlu dijadikan pengajaran pemimpin Melayu Pakatan Rakyat. Perjuangan terhadap agama dan bangsa mesti diutamakan bukan diremehkan. Jangan jadi bisu mempertahankan agama dan buta membela maruah bangsa. Sedarlah pemimpin agar tidak terus bersifat kuda tunggangan dan lembu dicucuk hidung semata-mata menjaga hati rakan pakatan sehingga maruah agama dan bangsa di tanah air sendiri tergadai.
Kebelakangan ini semakin kuat kedengaran cerita mengenai strategi terancang digerakkan Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP untuk meminggirkan penduduk Melayu di bahagian pulau ke tanah seberang. Strategi terancang ini sebenarnya sudah lama kedengaran. Kita boleh lihat dengan nasib penduduk Melayu di Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong yang sudah berusia hampir 100 tahun kini beralih tangan apabila diserahkan kepada pemaju perumahan yang akan membangunkan kampung itu dengan projek rumah mewah yang tidak mungkin mampu dimiliki orang Melayu Pulau Pinang. Jika ada pun, jumlahnya boleh dikira dengan jari.
Tindakan ini mendukacitakan. Belum pun berkuasa penuh, penduduk Melayu di bahagian pulau negeri itu mula dihalau keluar dari kampung masing-masing. Lebih menyakitkan, penduduk diberi rumah kos rendah tidak setimpal harganya dengan tanah yang tergadai itu. Tindakan ini tidak berhenti setakat ini sahaja. Kini giliran penduduk Melayu di Balik Pulau (penempatan Melayu terbesar) pula bakal menerima nasib sama.
Jika mahu mempertahankan kawasan majoriti Melayu, Balik Pulau ialah banteng terakhir kaum Melayu Pulau Pinang. Jangan biarkan ia menjadi seperti Geylang atau Kampung Gelam di Singapura. Alasan kononnya untuk membina institusi pengajian tinggi dari Singapura adalah tidak rasional kerana di Balik Pulau sudah ada UiTM. Perancangan ini mungkin ada udang di sebalik batu. Apa yang jelas, penduduk Melayu di Kampung Genting dan Pondok Upeh terpaksa keluar dan kedua-dua kampung ini dikuburkan bagi memberi laluan projek dirancang.
Di manakah pemimpin Melayu dalam Kerajaan Pulau Pinang? Mereka ini sepatutnya tampil dan membela nasib penduduk Melayu – satu bangsa dan agama yang tertindas ini. Hakikatnya pemimpin Melayu ini berterusan biarkan diri diperguna oleh DAP. Kita tidak boleh mengharapkan pemimpin seperti ini. Kini, menjadi tugas, amanah dan tanggungjawab setiap penduduk dan pemimpin Melayu dari seluruh pelosok negara untuk mempertahankan hak milik kaum Melayu Pulau Pinang yang dari sehari ke sehari, semakin banyak dirampas daripada mereka.
Jelaslah strategi dirancang, biarlah semua penduduk Melayu berpindah dan bermastautin di Seberang Prai serta bahagian pulau untuk penduduk Cina. Maka, akan muncullah sebuah negara baru di dalam sebuah negara berdaulat bernama Malaysia. Rahsia permulaan ke arah ini didedahkan Ahli Parlimen Bebas Kulim/Bandar Baru, baru-baru ini mengenai satu perjanjian rahsia antara DAP dan PKR, iaitu DAP akan memiliki kuasa autonomi terhadap Pulau Pinang sekiranya pakatan ambil alih Kerajaan Persekutuan. Apakah majoriti rakyat negara ini mahu melihat satu kuasa autonomi muncul dalam negara Malaysia?
Justeru, segala usaha perlu dilakukan untuk menyelamatkan Pulau Pinang dari jatuh ke tangan pihak yang memperjuangkan satu kaum, sedangkan Malaysia didiami penduduk berbilang kaum.
Perjuangan memenangkan satu kaum tidak akan ke mana, malah hanya akan mencetuskan huru-hara dan memusnahkan keharmonian, kedamaian dan kedaulatan sesebuah negara.
Maka perjuangan pertahan hak milik Melayu Pulau Pinang kini mesti dilaksanakan dari sekarang dan biarlah berputih tulang, tetapi jangan berputih mata. Jika tidak, kaum Melayu Pulau Pinang akan tinggal dalam lipatan sejarah sebagai satu kaum yang pernah memiliki tanah di bahagian pulau di Pulau Pinang. Renung dan fikirlah dengan nasib orang Melayu di Singapura!
sumber: sinar harian

Selasa, 26 Oktober 2010

Renungan Buat Orang Melayu

BUMI MELAYU...

BUMI INI TANAH MELAYU
PENGHUNINYA ORANG MELAYU
PEMERINTAHNYA RAJA-RAJA MELAYU...
SEKOLAHNYA SEKOLAH MELAYU...
BAHASANYA BAHASA MELAYU...
KENDERAANNYA KERETAPI TANAH MELAYU...
TENTERANYA ASKAR-ASKAR MELAYU...
AGAMANYA AGAMA ISLAM AGAMA RASMI NEGARA 
WAHAI MELAYU BAGUNLAH DARI MIMPI DAN LENA MU
TANAH YANG KAU PIJAK KINI BUKAN LAGI DALAM ERAT GEMGAMANMU....
WAHAI MELAYU......
ERATKANLAH TALI PERSAUDARAN..
KITA BINA BENTENG UKHWAH AGAR BANGSA DAGANG TAK MAMPU UNTUK MENGANGKAT MUKANYA UNTUK MENATAP WAJAH MELAYUMUUUU.......
AKU ANAK MELAYU
TAKKAN MELAYU HILANG DI TANAH AIRNYA TANAH MELAYU
TAKKAN HILANG PERKARA YANG LAPAN DIATAS ITU...
PERTAHANKANLAH PERKARA YANG LAPAN ITU KERANA ITULAH HAK MU MELAYU.....
RENUNGKANLAH WAHAI MELAYU
HIDUP MELAYU...
HIDUP MELAYU...
HIDUP MELAYU..
ALLAHUAKBAR.....
ALLAHUAKBAR.....
ALLAHUAKBAR........
BUKTIKAN YANG KITA ANAK MELAYU......

Menara Warisan PNB


PNB merupakan sebuah institusi pelaburan utama negara dengan pelbagai portfolio kepentingan yang meliputi saham amanah, amanah harta institusi, pengurusan harta dan pengurusan aset.
PNB bukannya sebuah badan yang menyediakan dana untuk wakil-wakil rakyat menjaga kawasan mereka. Mereka menjalankan perniagaan dan keuntungan kepada perniagaan itu digunakan untuk membayar dividen kepada pelabur-pelabur mereka seperti ASNB dan juga beberapa saham lain lagi.
Pembinaan Menara Warisan di kawasan strategik tersebut adalah salah satu bentuk pelaburan jangka masa panjang. Sekiranya menara tersebut tidak diperlukan lagi satu hari nanti, ianya boleh dijual dengan harga berlipat ganda.
Jika sekarang dibina dengan kosnya RM 5 bilion, 10 tahun lagi mungkin ianya menjangkau RM 8 bilion. Tahun demi tahun nilainya akan naik. Rekod setakat ini belum pernah menunjukkan nilai hartanah di negara kita menurun. Semuanya makin menaik tahun demi tahun.
Pembinaan menara tersebut bukan lagi serampang dua mata, tetapi ianya serampang bermata-mata. Selain itu ianya boleh menjana untung kepada PNB dan seterusnya kepada rakyat melalui ASNB, ianya juga dapat menjadi mercutanda terbaru KL dan seterusnya boleh menarik pelancong datang ke negara kita.
Selain itu juga ianya dapat mengatasi masalah kekurangan tanah di KL untuk pembinaan pejabat-pejabat atau ruang niaga yang baru. Dapat juga menjadi pusat sehenti peniaga-peniaga bumiputra yang hendak berniaga di sana.
PNB juga akan memindahkan semua pejabat-pejabatnya yang berselerak di serata Lembah Klang ke satu tempat. Bangunan PNB yang ada di Jalan tun Razak sekarang sudah tidak cukup lagi untuk menampung operasinya.
PNB boleh menjual bangunan lamanya atau mereka boleh simpan sebagai aset dan sewakan kepada pihak lain. Berebut-rebut syarikat yang berminat untuk menyewa bangunan lama PNB sekiranya tawaran dibuka, kerana ianya berada di kawasan yang strategik.

Impak transformasi

PERDANA Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bergambar bersama  buku Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada majlis pelanacaran buku itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Ekonomi (ETP) mengandungi 131 projek permulaan (EPP) yang bakal menghasilkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) tambahan sebanyak RM426 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

Program bertujuan mengubah ekonomi Malaysia kepada negara maju berpendapatan tinggi itu turut mengandungi 60 peluang perniagaan yang akan menghasilkan lagi PNK tambahan sebanyak RM346 bilion. 

Semua projek itu bakal mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan baru dengan 63 peratus berada dalam segmen pendapatan sederhana dan tinggi, berbanding 43 peratus sedia ada. 
Malah, ETP mula menunjukkan hasil positif dengan hampir 45 peratus daripada pelaburan sebanyak RM299 bilion yang diwakili 53 EPP, kini di peringkat perbincangan aktif. Daripada jumlah itu, perjanjian bagi sembilan EPP membabitkan pelaburan lebih RM30 bilion ditandatangani pada majlis itu, semalam. 

Dalam ucapannya, Najib menjelaskan projek EPP itu dibangunkan berteraskan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dikenal pasti berpotensi menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

NKEA yang terpilih ialah Minyak, Gas dan Tenaga; Minyak Sawit; Perkhidmatan Kewangan; 

Pelancongan; Perkhidmatan Perniagaan; Elektrik dan Elektronik; Pemborongan dan Peruncitan; Pendidikan; Penjagaan Kesihatan; Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur; Pertanian dan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang. 

Digabungkan dengan pertumbuhan organik dari kedua-dua NKEA dan bukan NKEA, jumlah keseluruhan PNK pada 2020 dianggar mencapai AS$523 bilion (RM1.6 trilion). 

Perdana Menteri berkata, secara keseluruhan semua 131 EPP itu dirancang merentasi seluruh pelusuk negara dengan 106 projek akan memanfaatkan masyarakat bandar dan 25 lagi memberi faedah terus kepada masyarakat luar bandar. 

Beliau berkata, khusus kepada masyarakat luar bandar, EPP itu dijangka mewujudkan 323,596 pekerjaan baru pada 2020, selain memberi manfaat kepada pemilik Tanah Adat Pribumi, khususnya di Sarawak dan Sabah serta golongan wanita. 

“Kesan hasil pembangunan itu kelak akan dinikmati setiap rakyat Malaysia, tanpa sesiapa pun yang tercicir daripada arus pencapaian ekonomi negara,” katanya. 

Najib turut memberi enam contoh utama EPP yang akan memberi impak positif kepada rakyat serta ekonomi negara. 

Ia merangkumi Program Tukar atau Transformasi Kedai Runcit di bawah NKEA Pemborongan atau Peruncitan yang akan memodenkan serta membantu 50,000 peruncit kecil untuk meningkatkan daya saing mereka dalam era peruncitan moden. 

Kesan kepada PNK pada 2020 daripada pelaksanaan projek itu dianggarkan sebanyak RM5.5 bilion dan akan mewujudkan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan. 

Di bawah NKEA Pertanian, Projek Zon Akuakultur Berintergrasi dengan saiz minimum 1,000 hektar untuk mengeluarkan produk akuakultur premium bermutu bagi pasaran eksport akan dilaksanakan di beberapa lokasi pada skala besar, seperti di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta Batang Air dan Tanjung Manis di Sarawak. 

Impak kepada PNK daripada projek itu dianggar sebanyak RM1.2 bilion dan akan mewujudkan 11,890 peluang pekerjaan. 

Bagi membangunkan pelancongan kesihatan, 35 hospital sedia ada di kenal pasti di bawah NKEA Kesihatan dengan kesan kepada PNK pada 2020 dianggar sebanyak RM4.2 bilion dan akan mewujudkan 5,295 peluang pekerjaan. 

Najib berkata, bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan berunsur Asia yang menarik, sebuah pusat Malaysia Truly Asia akan diwujudkan di Kuala Lumpur bagi menempatkan kebudayaan dan hiburan terbaik Malaysia. 

“Ini adalah sebahagian daripada NKEA Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang. Kesan kepada PNK pada 2020 dianggar sebanyak RM233 juta dan akan mewujudkan 1,700 peluang pekerjaan,” katanya. 

NKEA itu turut membabitkan pembangunan projek MRT menghubungkan pelbagai tempat di Lembah Klang akan memberi kesan berganda kepada ekonomi di kawasan terbabit, selain menjadikan Kuala Lumpur bandar raya paling selesa. 

Najib berkata, langkah menambah baik pengangkutan awam bandar itu akan memberi kesan sebanyak RM21.2 bilion kepada PNK dan mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan baru. 

Di bawah NKEA Pendidikan pula, sebuah pusat pendidikan berintegrasi penuh seluas 122 hektar mengandungi universiti, institusi penyelidikan dan pembangunan serta kemudahan pendidikan lain akan memberi rangsangan seterusnya kepada inisiatif Educity@Iskandar. 

“Impak kepada PNK pada 2020 dianggar sebanyak RM1.1 bilion dan mewujudkan 1,164 peluang pekerjaan,” katanya. 

Isnin, 25 Oktober 2010

"Ingatan Sultan Johor perlu dijadikan iktibar" Syed Ali

ORANG Melayu digesa menolak segera golongan ‘cetek akal’ yang berselindung disebalik pertubuhan politik memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Katanya, orang Melayu tidak harus berterusan berdiam diri apabila ada usaha dilakukan pihak tertentu mencabuli Perlembagaan Persekutuan, mempertikaikan hak Melayu dan mempersoalkan kuasa serta kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Orang Melayu perlu segera bangkit mempertahankan hak mereka kerana sejak akhir-akhir ini ada usaha terancang pihak tertentu untuk melenyapkan kekuasaan Melayu menerusi gerakan politik,” tegasnya.

Menurut beliau, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menegaskan golongan ‘cetek akal ‘ sebagai dalang yang merosakkan kedamaian sesebuah negara perlu diberikan perhatian serius.

Sehubungan itu katanya, pemimpin politik perlu menerima peringatan tersebut secara positif dengan mengelak daripada berterusan mempersoalkan Perlembagaan sedia ada.

“Titah baginda merupakan amanat dan ingatan kepada seluruh bangsa Melayu supaya berwaspada dan seterusnya menolak kumpulan yang memperjuangkan kepentingan kaum dan cuba mengubah Perlembagaan sedia ada,” tegasnya.

Katanya, ingatan itu juga mencerminkan sikap baginda yang amat prihatin terhadap masa depan orang Melayu dan kestabilan politik di negara ini.

Sambil menyifatkan titah Sultan Johor itu sebagai kena pada masanya, Syed Ali menambah bukan Melayu juga harus mengambil iktibar daripada peringatan tersebut dengan berpegang kepada falsafah ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’. 

“Bukan Melayu juga harus memahami konsep perpaduan dengan turut berpegang kepada Perlembagan Persekutuan bagi membuktikan kesetiaan mereka kepada negara ini tidak dipertikaikan,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyelar sikap pemimpin pembangkang yang sengaja memainkan sentimen perkauman untuk meraih kuasa politik tanpa mengambilkira perpaduan dan kepentingan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Ketika berucap merasmikan Seminar Perlembagaan Malaysia Peringjkat Negeri Johor di Johor Bharu semalam, baginda mengingatkan jangan mudah sangat demi untuk kepentingan sesuatu pihak, Perlembagaan dipinda sesuka hati. Kerana akhirnya nanti Perlembagaan ini akan menjadi tidak bermakna dan mungkin tinggal sekeping kertas sahaja.

Menurut Syed Ali, Perlembagaan Persekutuan yang diterima pakai sehingga ke hari ini dibuat dengan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu dan ianya tidak boleh dipinda sesuka hati.

"Bukan Melayu yang masih tebal dengan sikap rasis diingatkan bahawa orang Melayu sentiasa berada di belakang Sultan atau Raja mereka dan sebarang usaha untuk mengugugat kedudukan itu pasti akan ditentang habis-habisan," tegasnya.
Beliau berkata, kebimbangan Sultan Johor itu dikhuatiri suatu hari kelak akan menjadi kenyataan jika pemimpin Melayu masih lagi bersikapin pentingkan diri sendiri dan mengutamakan agenda politik perkauman.
Katanya, sebelum ini Raja-Raja Melayu telah tampil dengan memberi pelbagai peringatan terhadap kepentinganmasa depan Melayu yang semakin terjejas berikutan sikap sesetengah pihak yang mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

Ahad, 24 Oktober 2010

Henti bahas hak Melayu – PM


KUALA LUMPUR 23 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua pihak supaya berhenti mempersoal dan membahaskan mengenai hak istimewa Melayu serta pada masa sama mengulangi bahawa ia dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Presiden UMNO, seperti yang ditegaskan beliau baru-baru ini, soal hak istimewa Melayu dan bumiputera adalah sesuatu yang telah terpateri dan terkunci kemas dalam Perkara 153 Perlembagaan dan tidak mungkin dipinda.
“Itulah sebenarnya hakikatnya. Peruntukan-peruntukan mengenai kepentingan orang Melayu dan bumiputera, yang melibatkan soal keistimewaan orang Melayu sudah pun terpateri kemas, telah terkunci, tersimpul mati dalam Perlembagaan negara kita.
“Ia tak boleh dipinda melainkan dengan persetujuan raja-raja Melayu dan saya tak nampak raja-raja Melayu akan pinda peruntukan Perlembagaan ini.
“Soal Perlembagaan ini tak usah bangkit pada sesiapa lagi. Habis, tutup cerita, kita mara ke depan, orang putih kata lets move on. Tak ada apa lagi, dah... dah... dah, habis cerita, tutup buku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan ketika sesi penangguhan Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Dalam ucapan dasar Presiden sewaktu merasmikan perhimpunan agung itu Khamis lalu, Perdana Menteri menegaskan, hak istimewa Melayu yang dijamin dalam Perkara 153 Perlembagaan tidak boleh digugat kerana ia tidak mungkin dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
Perkara 153 antara lain mencakupi rezab kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.
Dalam pada itu, Najib menyelar parti pembangkang yang memusingkan ucapan dasarnya berkaitan hak istimewa orang Melayu itu dengan kenyataan bahawa UMNO tidak perlu berkuasa kerana kononnya pihak lain pun boleh mempertahankan keistimewaan itu disebabkan ia sudah ada dalam Perlembagaan.
Menurutnya, pandangan pembangkang itu tidak benar sama sekali kerana walaupun ia sudah terkunci kemas, namun kuasa politik perlu berada di tangan UMNO untuk menterjemah prinsip semangat peruntukan Perlembagaan itu.
“Kumpulan yang di sebelah sana, dia pakar pusing, orang putih kata spinning. Dia very good at spinning. Dalam ucapan saya (ucapan dasar), saya tutup dengan mengatakan dalam apa juga keadaan, mesti kita pertahankan (hak istimewa Melayu).
“Inilah masalah kita berdepan dengan pembangkang yang selalu memutar sesuatu kepalsuan untuk mengelirukan rakyat jelata.
“Kita beritahu bahawa UMNO akan menyelamatkan masa depan Melayu dan negara kita yang tercinta. Tak ada orang lain (hendak pertahankan), nak kata dia (pembangkang) boleh... dulu sibuk reformasi, sekarang ini sibuk baling kerusi,” tegasnya.
Sementara itu, Najib pada sidang akhbar kemudian berkata, seandainya isu Perlembagaan masih dibangkitkan oleh pihak tertentu, ia akan hanya bersifat akademik.
“Ia tidak akan mengubah setitik pun. Kita memang ada undang-undang tapi kita akan tengok macam mana ia dibangkitkan, sama ada ia melanggar undang-undang atau (berbentuk) hasutan.
“Tapi, mereka patut faham kalau persoalkan, ia hanya bersifat akademik, buang masa dan `habiskan beras’ sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, Najib berkata, parti-parti komponen BN sudah memberi persetujuan supaya perkara-perkara yang bersabit dengan Perlembagaan tidak perlu lagi dibangkitkan oleh sesiapa.

7 Amanat Presiden

Foto


Pesanan Presiden UMNO untuk pertahan kuasa orang Melayu

1- Utamakan maruah dan kepentingan parti daripada kepentingan diri

2- Pentingkan pasukan bukan kumpulan sendiri
3- Tawan pemikiran, hati dan jiwa rakyat
4- Mahir teknologi maklumat dengan menguasai media baru
5- Tumpu empat juta pengundi baru menjelang pilihan raya akan datang
6- UMNO mesti menuju sifar masalah 

7- Dahulukan rakyat dalam sebarang tindakan