BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Info Kesihatan

Hapuskan parut jerawat






PARUT jerawat membuatkan kulit muka kelihatan gelap dan kurang menarik.



SALLY merenung ke bayangnya di cermin. Jerawat sudah sembuh hasil rawatan yang dijalani dengan bersungguh-sungguh. Selain berubat di klinik, dia juga rajin ke salon untuk mencuci mukanya. Tak cukup dengan itu dia turut mengamalkan rejim mencuci muka dan pemakanan sihat.
Setahun yang lalu masalah jerawat bagaikan tragedi ngeri yang menimpa Sally. Syukurlah dengan teknologi perubatan moden maka mimpi ngeri tersebut sudah berakhir dan kini hanya tinggal kesan parut kehitaman.
Baru-baru ini Sally datang bertemu saya. Dia bertanya sama ada parut parut tersebut dapat dipulihkan atau tidak.
“Bagaimanakah cara terbaik bagi memulihkah parut. Jika ada apakah peratusan ia boleh pulih semula?” tanya beliau bertalu-talu.
Semangat Sally tetap kental sebagaimana saya mengenalinya setahun lalu.
Saya yakin Sally akan berjaya merealisasikan impiannya.
Apakah sebenarnya
parut jerawat?
Apabila jerawat sembuh, ia akan meninggalkan kesan kemerahan atau kesan parut hitam. Ini sebenarnya bukan parut jerawat tetapi kesan daripada radang jerawat . Jika tiada jerawat baru yang tumbuh, kulit akan sembuh dengan sendiri . Proses penyembuhan ini boleh mengambil masa 6 hingga 12 bulan. Kesan akibat jerawat lebih daripada setahun dikenali parut jerawat. Biasanya parut ini kekal dan membuatkan kulit muka kelihatan gelap dan kurang menarik. Untuk mengelakkannya rawatan awal boleh dilakukan.
Rawatan awal
Radang kulit disebabkan oleh jerawat adalah satu proses penyembuhan yang normal. Ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk membantu merawat peringkat awal parut jerawat.
Pendedahan kepada matahari melambatkan proses penyembuhan radang jerawat dan boleh merosakkan kulit. Oleh itu pengunaan sunblock yang sesuai amat penting
Doktor boleh memberi krim tretinoin untuk mempercepatkan proses remodeling kulit.
Penggunaan peeling agent seperti AHA (Alpha Hydroxy Acid) yang bersesuaian juga boleh mempercepat kan proses remodeling kulit
Jangan memicit jerawat atau parut jerawat . Ini akan mengganggu proses penyembuhan jerawat. Ia juga boleh menyebabkan bakteria yang terdapat di dalam jerawat tersebar lebih ke dalam kulit. Ini boleh menyebabkan parut jerawat yang lebih dalam berlaku
Penggunaan krim antioksidan seperti Vitamin C juga membantu memulihkan kesan jerawat.
Rawatan parut jerawat
Dengan kemajuan teknologi laser dermatologi/ aesthetic , kini rawatan yang paling berkesan untuk rawatan parut jerawat adalah dengan menggunakan laser. Dua jenis laser yang paling berkesan adalah laser CO2 (karbon dioksida ) atau Erbium Yag. Kedua-dua laser ini adalah dalam kategori ablative. Ia bermaksud akan meratakan kawasan kulit yang dirawat dengan laser. Ia juga akan merangsang kulit untuk membentuk kolagen. Ini menyebabkan kulit akan kelihatan lebih tegang, kesan parut jerawat kurang dalam serta pori pori muka kelihatan lebih halus. Proses rawatan ini perlu dilakukan beberapa sesi di antara enam ke lapan minggu.
Masalah jerawat adalah masalah utama untuk remaja . Masalah ini menjadi lebih rumit apabila remaja mula mencuba pelbagai jenis produk. Saya boleh memberi beberapa tip dan panduan untuk remaja yang mempunyai masalah jerawat.
1. Amalkan banyak pemakanan yang mengandungi antioksidan yang tinggi seperti buah-buahan citrus, nenas, kiwi dan anggur. Kebanyakan sayur sayuran juga mempunyai antioxidan yang tinggi .
2. Stres juga boleh menjadikan jerawat tumbuh dengan banyak. Oleh itu lakukan aktiviti yang boleh mengurangkan stres dan menyihatkan seperti bersukan
3. Apa-apa produk yang diletakkan di muka mestilah bebas minyak, berasaskan air dan non-comedogenic (tidak menyumbat pori-pori muka). Gunakan pencuci muka yang sesuai dan jangan mencuci muka dengan sabun mandi.
4. Jika peralatan kosmetik anda menyebabkan tumbuh whitehead atau blackhead, tukar kepada jenama lain. Yang terbaik adalah kosmetik berasaskan mineral. Kosmetik di muka mesti dicuci sebelum tidur .
Perubahan hormon juga boleh menyebabkan jerawat yang teruk. Jika langkah langkah di atas tidak dapat membantu, rawatan seperti antibiotik, chemical peeling, photofacial dan rawatan hormon boleh membantu. Sila berjumpa dengan pakar kulit.
Parut di muka selalunya disebabkan oleh kesan jerawat. Namun begitu ia juga boleh disebabkan kesan kecederaan seperti terbakar atau luka. Setakat ini belum ada produk yang boleh merawat kesan parut dengan berkesan. Jika parut itu tidak dalam, rawatan seperti chemical peeling dan microdermabrasion boleh membantu mengurangkan masalah parut. Tetapi jika parut itu dalam dan banyak, rawatan yang sesuai adalah laser CO2 atau Erbium YAG. Rawatan yang diperlukan adalah sebanyak tiga ke lima sesi. Rawatan ini adalah yang terbaik untuk masalah parut.
Jerawat di badan
Untuk merawat Jerawat di badan , saya nasihatkan untuk mengambil antibiotik yang sesuai seperti Minocycline HCL. Ini bertujuan membunuh bakteria yang menyebabkan jerawat itu bengkak dan sakit. Semasa rawatan antibiotik , nada perlu menggunakan krim Benzoyl peroxide (seperti jenama Oxy) agar rawatan lebih berkesan. Jika jerawat tersebut mempunyai blackhead, rawatan seperti krim tretinoin perlu digunakan. Namun begitu anda dinasihatkan bertemu doktor untuk mengenal pasti rawatan yang sesuai.
Untuk rawatan terkini, terdapat dua jenis laser yang sangat berkesan untuk merawat jerawat iaitu Isolaz yang mendapat kelulusan untuk merawat jerawat tahap 1 hingga tahap 6 dan laser long pulse Nd:Yag. Kelebihan rawatan ini adalah ia ringkas, tidak sakit dan sangat berkesan

Sumber utusan malaysia 17.10.2010




Kempen selamatkan penglihatan






Orang ramai berpeluang melakukan pemeriksaan mata menggunakan alat-alat canggih yang disediakan secara percuma.


SETIAP lima saat seorang manusia di muka bumi ini akan kehilangan penglihatannya. Sedangkan 80 peratus daripada punca hilang penglihatan tersebut boleh dielakkan dan boleh dirawat.
Keadaan tersebut berlaku disebabkan kurangnya kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan mata secara berkala.
Pakar Optalmologi bagi Pakar Rawatan Mata VISTA, Dr. Shamala Ganesan berkata, fakta tersebut seharusnya menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia khususnya yang berasakan mereka mempunyai masalah penglihatan.
"Setakat ini tiga penyakit utama yang boleh menyebabkan buta iaitu katarak, glaukoma dan Kemerosotan Makular Berkaitan Usia (AMD)," jelasnya pada majlis pelancaran kempen Hak Untuk Melihat anjuran bersama Kelab Rotary dan Pakar Rawatan Mata VISTA baru-baru ini.
Kempen tersebut sempena sambutan Hari Penglihatan Sedunia yang disambut setiap 14 Oktober.
Menurut Dr. Shamala, katarak adalah sejenis penyakit di mana selaput menyelubungi kanta mata. Ia menyebabkan penglihatan kabur.
Memang ia sering berlaku kepada orang yang lebih tua, namun yang pasti ia mengganggu kehidupan.
Antara simptomnya ialah nampak objek seperti berkabus, pudar atau penglihatan malam terganggu, kaca mata tidak berfungsi, hilang sensitiviti kontra seperti ketepatan warna, jarak dan kecerahan.
"Jika anda mempunyai simptom seperti itu cepatlah berjumpa pakar mata kerana ia boleh dirawat.
"Satu lagi penyakit mata ialah glaukoma yang disebabkan oleh kerosakan pada saraf optik.
"Pada awalnya penghidap glaukoma akan merasa sakit di bahagian mata, sekali gus tahap penglihatan merosot, ditambah dengan sakit kepala, mata merah, mual-mual, pening dan muntah.
"Sila ambil serius apabila ini berlaku dan pengabaian tentangnya mungkin menyebabkan anda kehilangan penglihatan," ujarnya .
Dr. Shamala turut menyarankan rakyat Malaysia melakukan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun.
Hak untuk melihat
Sementara itu, kempen Hak Untuk Melihat merupakan projek khidmat masyarakat yang berlangsung selama enam bulan.
Aktiviti utama sepanjang kempen tersebut ialah memberi pemeriksaan dan rawatan kerosakan mata secara percuma kepada orang ramai.
Istimewanya, kempen itu mendapat pembiayaan daripada Yayasan CIMB dan sokongan Persatuan Glaukoma Malaysia.
Jurucakap penganjur dari Kelab Rotary Damansara West, Yim Ken Fei berkata, kempen mata tersebut adalah rentetan daripada kejayaan kelab itu mewujudkan kesedaran tentang penyakit buah pinggang sebelum ini.
"Kami amat berbesar hati dapat berganding bahu dengan VISTA bagi memerangi tiga penyebab utama kehilangan daya penglihatan yang boleh dielak ini.
"Bagi kami kesihatan mata merupakan isu yang mampu memberi kesan besar kepada komuniti.
"Mungkin ramai tidak sedar bahawa sebuah keluarga boleh kehilangan punca pendapatan apabila individu yang menjadi tonggak keluarga seperti bapa kehilangan daya penglihatan kerana salah satu dari tiga punca masalah mata tersebut," jelasnya.
Justeru Ken Fei menyeru orang ramai supaya mengambil peluang ini bagi memastikan nasib keluarga yang dibayangi bahana kebutaan ini terbela.
"Kita juga perlu ingat bahawa kitalah yang perlu bertanggung jawab atas kesihatan mata kita sendiri," ujarnya.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif VISTA, Lim Boon Siong berkata, kerjasama itu diharap dapat menjana kesedaran sekali gus meningkatkan kefahaman kepada orang ramai tentang kesihatan mata.
"Berbekalkan pengalaman bertahun-tahun sebagai pakar mata, kami sedar bahawa tidak ramai yang mempunyai kesedaran tentang pemeriksaan mata yang sebenarnya sama penting dengan kesihatan tubuh.
"Dengan melakukan pemeriksaan yang kerap, diagnosis awal dan rawatan pantas menghalang kehilangan daya penglihatan," katanya.
Menurut Boon Siong, kebanyakan penyakit mata tidak menunjukkan simptom-simptom awal, malah sesiapa sahaja tidak mengira usia atau status kesihatan boleh menghidapinya.
"Maka dengan itu, rakyat Malaysia dari semua peringkat umur mestilah belajar untuk menjaga kesihatan mata kerana kehilangan daya penglihatan boleh dicegah jika penyakit mata dapat dikesan dan dirawat dengan lebih awal," ujarnya.

Sumber utusan malaysia 14.10.2010






Darah tinggi penyakit seumur hidup




HIPERTENSI ataupun darah tinggi merupakan salah satu penyakit utama yang sering dihidapi penduduk negara ini. Walaupun bahaya penyakit ini banyak didedahkan, begitu juga cara-cara untuk mencegahnya namun bilangan penghidapnya tidak menampakkan tanda-tanda penurunan.
Ini kerana ketiadaan simptom ketara yang dapat mengaitkan seseorang dengan penyakit ini.
Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman menegaskan, punca tekanan darah tinggi membabitkan 95 peratus pesakit masih tidak diketahui.
“Malah, ada individu yang tidak mengetahui mereka menghidap darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa sedikit pun menunjukkan simptom,” katanya.
Ujarnya lagi, penyakit ini tidak akan hilang. Dalam kebanyakan kes, ia merupakan penyakit seumur hidup.
Akibatnya, penghidap darah tinggi perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.
Secara amnya, darah tinggi merujuk pada tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada tahap biasa secara kronik.
Pesakit yang mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg dalam keadaan rehat berpotensi positif mendapat penyakit tersebut.
“Darah tinggi memang tiada sebarang gejala. Namun, jika tidak dibendung daripada awal, seseorang boleh terkena serangan atau kegagalan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang,” katanya.
PERUBATAN alternatif akupuntur dipercayai dapat memulihkan penyakit darah tinggi.
PENGHIDAP darah tinggi perlu bergantung pada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.


Satu daripada dua
Mengikut satu kajian pada tahun 2006, satu daripada tiga rakyat negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap darah tinggi.
“Saya berpendapat angka ini telah meningkat dan melebihi 50 peratus rakyat Malaysia menghidapnya.
“Dahulu penghidapnya berusia 30 tahun ke atas, kini ia tidak mengira peringkat umur.
“Mereka yang berada di bawah umur tersebut juga berisiko. Malah kanak-kanak turut terdedah kepada penyakit ini kerana faktor pemakanan dan obesiti,” ujarnya.
Tambah Azhari, ada pesakit hanya mengetahui mereka mempunyai darah tinggi setelah mereka diserang strok.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, risiko komplikasi darah tinggi boleh dielakkan jika seseorang berdisiplin dengan mengambil makanan berkhasiat.
“Kawalan diet terutama pengambilan garam selain rejim senaman bagi mengekalkan berat badan ideal juga perlu bagi penghidap darah tinggi,” katanya.
Berbicara mengenai rawatan darah tinggi melalui medium perubatan alternatif, pengamal perubatan alternatif, Nik Omar Nik Daud berkata, penyakit itu memerlukan rawatan secara holistik selain mengurangkan pengambilan ubat-ubatan yang bersumberkan dadah.

FATIMAH ARSHAD


“Dari sudut homeopati, keadaan pesakit darah tinggi termasuk simptom yang mereka alami akan dinilai terlebih dahulu.
“Selepas didiagnosis, mereka akan diberikan ubat-ubatan yang bersumberkan alam semula jadi seperti garam galian,” katanya.
Ujarnya lagi, garam galian berbeza daripada garam yang terdapat dalam makanan yang menjadi punca darah tinggi.
Katanya, garam galian lebih selamat dan bersumberkan sulfur, magnesium dan kapur.
“Ia selamat dan boleh membantu mengurangkan tekanan darah seseorang,” katanya.
Akupuntur
Tambah beliau, kebiasaannya pesakit darah tinggi memerlukan masa selama tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. “Namun, mereka juga mesti mengambil makanan yang sihat dan banyak bersenam,” katanya.
Ujar Nik Omar lagi, rawatan akupuntur dan bekam turut membantu memulihkan tekanan darah tinggi.
“Rawatan akupuntur memberi tumpuan pada bahagian kaki dan tangan yang merupakan kawasan berkaitan saluran darah.
“Ini untuk memastikan pengaliran darah sempurna dan stabil selain mengaktifkan sel-sel darah yang terjejas,” katanya.
RAWATAN sering menjadi alternatif dalam mengurangkan penyakit darah tinggi.


Bagi rawatan bekam pula, Nik Omar berpendapat amalan itu mempunyai manfaat yang cukup banyak kerana dapat mengeluarkan toksik daripada darah.
“Ia juga dapat membuang darah kotor dalam badan. Jika diamalkan mengikut nasihat pengamal perubatan tradisional terlatih, tekanan darah tinggi boleh menjadi normal semula.
Bagi pakar pemakanan, Dr. Fatimah Arshad menjelaskan, penghidap darah tinggi perlu mengurangkan pengambilan garam dalam makanan.
“Kurangkan makanan berlemak dan banyak makan sayur-sayuran serta buah-buahan segar. Jangan makan buah betik yang dibuat rojak. Kicap mengandungi garam yang tinggi.
“Kurangkan penggunaan belacan untuk masakan, begitu juga ikan dan telur masin. Makanan segera pula harus dielakkan,” katanya.
Sumber KOSMO 19.10.2010





Kolagen - rahsia wajah muda


Siti Norlaili, Rokiah, Noorhalini dan Tracy Theah lebih berasa yakin dan jelita selepas mengambil suplemen berbentuk kolagen.


PENGALAMAN empat wanita berbeza usia cukup membuktikan betapa pentingnya memelihara kecantikan untuk memantapkan keyakinan diri.
Tracy Theah, 22, Rokiah Muda, 35, Noorhalini Kambali, 30, dan Siti Norlaili Abdul Aziz, 37, berkongsi rahsia suplemen tambahan berbentuk kolagen.
"Selepas mencuba kolagen, saya berasa yakin pada diri sendiri. Tanpa kesan sampingan yang berpanjangan, ia membantu saya mendapatkan bentuk payu dara seperti yang diidamkan wanita lain. Malah, suami saya kini telah memuji perubahan yang saya alami," ujar Tracy ketika ditemubual pada majlis ringkas memperkenalkan kolagen CollaB'utee baru-baru ini.
Secara umumnya, pertambahan usia dan gejala penuaan bukan satu jenis penyakit. Ia harus diterima secara positif.
Bagi membantu mengatasi masalah wanita 40-an, pakar menyarankan kolagen.
Ini diakui sendiri Rokiah yang merasakan perubahan badannya selepas melahirkan empat cahaya mata. Rokiah mahu kelihatan cantik dan sihat supaya dapat menjalankan tugas harian sebagai isteri dan ibu dengan lebih sempurna.
Wanita kelahiran Kemaman, Terengganu itu mengakui tugas wanita lebih rumit apabila menjadi suri rumah sepenuh masa. Selain membantu suami menambah pendapatan dengan berniaga sambilan, Rokiah mahu kelihatan lebih yakin dan cantik di rumah.
"Dulu saya memiliki kulit yang agak kusam. Bukannya saya tidak pernah mencuba rawatan di salon atau spa tetapi perubahan yang dialami tidak ketara. Dengan bantuan kolagen ini, saya merasakan sedikit perubahan.
''Selain kulit wajah yang lebih cantik, hormon dan aras gula saya kini lebih stabil. Mungkin sekarang saya lebih gembira dan ceria berbanding dulu," ujarnya yang disahkan menghidap diabetes semasa mengandung anak bongsu.
Bagi Noorhalini pula, kesihatan dan kecantikan tidak boleh dipisahkan di mana untuk nampak cantik, seseorang itu harus sihat.
Tambahnya, ada pendapat apabila seseorang wanita meningkat usia kecantikannya akan turut luntur.
Sebaliknya, seseorang itu mesti yakin bahawa dirinya cantik kerana individu itu saja sahaja yang tahu di mana letak nilai kecantikannya.
Sebab itulah, dia mengambil keputusan mengambil suplemen pada umur yang masih muda. Sebagai stokis CollaB'utte di Batu Pahat, Johor, dia tidak ketinggalan mencuba kolagen tersebut.
"Selepas menggunakan kolagen ini, saya dapati kulit saya lebih tegang berbanding dulu. Bahkan, merekah di kaki saya kini semakin pulih," ungkapnya sambil tersenyum tatkala suami di sisi memuji perubahannya.
Atasi jerawat
Tidak mempercayai rawatan laser atau suntikan khusus untuk kecantikan wajah, Siti Norlaili mengambil suplemen kolagen sejak dua bulan lalu. Dulu, Siti Norlaili kurang yakin untuk muncul di khalayak ramai kerana wajahnya berjerawat. Dengan berat badan yang tidak seimbang, dia berasa kekok dan malu menghadiri majlis keramaian anjuran rakan-rakannya. Namun, keperitan itu hilang apabila dia kini dapat mengurangkan berat badan dan kesan jerawat.
"Sekarang saya lebih positif kerana saya lebih yakin bertemu dengan orang ramai. Bentuk badan saya juga semakin terserlah tanpa suntikan atau laser," ujar ibu kepada tiga orang anak itu.
CollaB'utee mengandungi antioksidan Vitamin C yang merupakan komponen penting dalam memastikan keberkesanannya. Fungsi kolagen adalah memelihara kulit dari dalam dan memastikan proses penggantian sel kulit sentiasa berlaku selain mengelakkan kulit menjadi kering dan mengurangkan kedutan.
Dalam penghasilan kolagen, Vitamin C akan bertindak balas dengan asid amino dengan menambahkan hidrogen dan oksigen di dalam sel kolagen itu sendiri.
Sekiranya anda tidak mendapat multivitamin yang mencukupi, penghasilan kolagen akan berkurang dan penurunannya akan mengakibatkan kulit kusam dan hilang keanjalan.


Sumber  Utusan Malaysia