Amaran itu dikeluarkan selepas penternak lembu di sekitar kawasan berkenaan membiarkan ternakan masing-masing merayau di kawasan perumahan dan kawasan pertanian sehingga merosakkan tanaman penduduk, selain berkeliaran di atas jalan raya. Ini bukan saja menyebabkan jalan raya dikotori tahi lembu, tetapi juga berbahaya kepada pengguna jalan raya kerana mereka berisiko tinggi untuk dirempuh ternakan itu.
Antara kawasan sering menjadi tempat tumpuan ternakan berkenaan berkeliaran tanpa kawalan pemilik ialah sekitar laluan Taman Ilmu dan Transkrian di sini.
Meskipun sudah banyak kali nasihat dan peringatan diberikan kepada sekurang-kurangnya enam penternak yang membela lebih 100 ekor lembu, namun ia seolah-olah bagai ‘mencurah air ke daun keladi’.
Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd Jait, berkata pihaknya berhak merampas ternakan yang merayau-rayau di tempat awam kerana menjejaskan persekitaran dan menimbulkan gangguan kepada penduduk setempat.
Katanya, ternakan yang dirampas akan disimpan dan pemiliknya perlu membayar kompaun sebanyak RM300 setiap ekor apabila menuntut semula ternakan berkenaan.
“Bagaimanapun, mana-mana ternakan yang tidak dituntut oleh penternak dalam tempoh seminggu, kami berhak melelong lembu berkenaan,” katanya kepada Berita Harian.
Tinjauan Berita Harian di sekitar kawasan berkenaan mendapati lembu yang bergerak secara berkumpulan tidak menghiraukan kenderaan apabila berada di atas jalan raya sehingga memaksa pemandu memperlahankan kenderaan masing-masing.
Pemandu tiada pilihan kerana jika membunyikan hon, tindakan itu mungkin menyebabkan lembu terkejut dan merempuh kenderaan.
Ada kalanya penternak memantau ternakan masing-masing ketika melintasi jalan raya, tetapi malangnya penjaga itu tidak mampu mengawal lembu masing-masing yang berkeliaran lompat sehingga boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
Mokhtar mengakui ada penternak yang kurang bertanggungjawab dengan melepaskan ternakan masing-masing sehingga mengganggu dan menjejaskan keselamatan orang pemandu.
Katanya, pihak majlis sentiasa melakukan pemantauan serta mengambil tindakan apabila menerima aduan daripada orang ramai.
“Penternak perlu bersikap lebih bertanggungjawab dan perlu memahami sensitiviti masyarakat sekitar,” katanya sambil menambah MPSP melantik tiga pegawai bagi memantau dan mengambil tindakan berdasarkan kepada aduan orang ramai.
Beliau berkata, kawasan sekitar Taman Ilmu dan Transkrian yang sedang pesat membangun tidak sesuai untuk diternak lembu secara besar-besaran.
Sehubungan itu, katanya, MPSP bersama Jabatan Veterinar dan Pejabat Daerah Seberang Prai Selatan sedang berusaha menangani masalah berkenaan dengan mencari kawasan baru untuk menempatkan semula aktiviti menternak lembu.
0 ulasan:
Catat Ulasan